Tuesday, January 24, 2012

SBPA-Selama Belum Puas

Dalam pengajian ekonomi sesetengah memberi definisi sebagai cara bagaimana manusia menggunakan sumber-sumber terhad untuk memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad. Sumber terhad isi rumah atau individu merujuk kepada pendapatan wang atau upah lebih popular dipanggil gaji. SBPA merupakan mekanisme kerajaan dalam menentukan pemberian gaji kakitangan awam. Kerajaan sebagai majikan sudah tentu akan mengambil kira sumber terhad mereka, iaitu pendapatan negara atau hasil. Logiknya, jarang akan berlaku kerajaan mampu memenuhi semua kehendak atau tuntutan kakitangan awam melalui kesatuan-kesatuan yang diwakili, dalam konteks Malaysia CUEPAC kerana hasil kerajaan bukan semata-mata untuk membayar kakitangannya.

Secara ekonominya, apabila gaji kakitangan awam meningkat dengan andaian cukai pendapatan kekal pada mekanisme lama, maka kuasa beli wang isi rumah akan meningkat. Permintaan terhadap barang secara logiknya akan meningkatkan. Jika permintaan gagal ditampung dengan penawaran barang yang mencukupi maka hasilnya akan berlaku kenaikan harga barang. Ini secara mudahnya tetapi dalam amalan ekonomi ia lebih kompleks kerana perkaitannya berlaku secara serentak. Jika terlalu banyak hasil kerajaan digunakan untuk belanja mengurus maka logiknya akan kurang hasil kerajaan dapat digunakan untuk pembangunan. Bagi negeri-negeri yang telah wujud kemudahan asas yang baik dan boleh digunakan, kekurangan pembangunan mungkin sesuatu yang boleh diterima, tetapi bagaimana jika sebuah negeri yang masih bergelumang dengan soal kemudahan asas yang belum cukup seperti di Sabah dan Sarawak serta beberapa tempat di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Soal pembangunan yang menyentuh kebajikan rakyat secara maksimum seperti pembinaan sekolah, jambatan, jalan raya, institusi-institusi pengajian perlu diberi perhatian dalam perbelanjaan negara. Logiknya, bilangan rakyat akan sentiasa bertambah dan kemudahan asasi paling asas menjadi satu keperluan utama mereka. Kegagalan pembangunan kemudahan asas akan memberi kesan jangka panjang kepada kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi negara. Soalnya adakah kita mampu mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan jika hanya bersandarkan kepada perbelanjaan isi rumah semata-mata? Di sinilah perlunya peranan pihak swasta, dengan keuntungan hasil penggunaan isi rumah, pelaburan dapat dijanakan oleh pihak swasta untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti barang serta perkhidmatan yang dihasilkan. Jika perkara sebegini berlaku pihak kerajaan hanya menumpukan kepada pembangunan kemudahan asas dan kawalan ekonomi semata-mata tanpa secara langsung melabur untuk menjana pendapatan kerajaan. Kerajaan berfungsi pada mekanisme sepatutnya dengan menjadi orang tengah antara pengeluar dan isi rumah. Kuasa pengimbang jika berlaku ketidakadilan ekonomi dalam masyarakat.

Soal gaji yang menjadi punca rasa tidak puas hati seharusnya dilihat secara holistik. Dalam sektor kerajaan, semakin tinggi jawatan yang disandang bukanlah bermakna semakin banyak beban kerja perlu ditanggung tetapi ia sebenarnya lebih merujuk kepada beban tanggungjawab, akauntabiliti, kejujuran, amanah, adil dan bersikap benar. Jika seorang kerani melakukan pecah amanah ia bukan kesalahan seorang Ketua Setiausaha Negara, cuma bualan orang waktu dia memegang jawatan KSN, kerani pun boleh pecah amanah. Itu sahaja, kesalahan tetap diletakkan kepada kerani tadi. Jadi mana logiknya kenaikan gaji yang keterlaluan diberikan kepada seorang KSN. Adakah kenaikan ini semata-mata untuk menjaga prestij jawatan Ketua Setiausaha Negara sebagai orang nombor satu dalam perkhidmatan awam. Seharusnya, ratio 25:35:40 digunakan dalam menentukan kenaikan gaji ke SBPA. Gaji seorang KSN akan tetap tinggi kerana gaji pokok asalnya telah sedia tinggi. Jika formula ini digunakan oleh kerajaan, dasar gaji minimum secara tidak langsung telah dapat dilaksanakan. Perbezaan seharusnya hanya wujud pada elaun-elaun tertentu mengikut kesesuaian jawatan. Adakah sama elaun seorang guru atau pengetua dengan seorang KSN?

Dalam pemerhatian, terdapat golongan yang langsung gagal diberi perhatian wajar apabila berlaku rombakan sistem perkhidmatan secara besar-besaran. Selalunya yang menjadi isu ialah kumpulan sokongan dan kumpulan berjawatan tinggi atau JUSA. Golongan yang terus berijazah dan memasuki skim perkhidmatan kerajaan tertentu biasanya hanya mendapat kenaikan gaji secara biasa tanpa apa-apa isu yang diperjuangan berbanding golongan sokongan dan JUSA. NUTP misalnya sibuk meminta perkhidmatan dalam skim berbeza diterima atau dipakai untuk ke skim siswazah bagi guru yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, hasilnya mereka meningkat ke DG44 tanpa menunggu 10 tahun di DG41 berbanding guru berijazah yang terus masuk ke dalam perkhidmatan. Bagaimana dalam SBPA apabila guru dijanjikan 8 tahun pada DG44 untuk ke DG48, bagaimana dengan 2 tahun waktu DG41 dahulu sebelum masuk ke DG44 apakah kaedah yang sama akan diperjuangan oleh NUTP. NUTP jangan semata-mata memperjuangan ahli-ahli sokongan kerana golongan ijazah juga membayar yuran keahlian bulanan. Wujudkan keadilan dalam perjuangan jangan hanya tahu meminta untuk golongan tertentu sahaja.

Mat Zaini Abdullah

No comments:

Post a Comment