Wednesday, January 25, 2012

Malam itu, hembusan udara-Nya amat lembut, segar bugar. Bintang di langit masih bercahaya patuh pada perintah-Nya. Aku masih lagi menelaah. Hanya ini mampu mengubah hidupku, keluarga dan adik-adik. Pengalaman pahit dahulu cukup jitu untuk dijadikan semangat mengubah hidup. Tertekan hidup kerana setiap apa yang dicapai, baik buruk terutamanya buruk menjadi umpat keji manusia. Jiran yang dulu kusangka baik rupanya pemberita yang baik dalam mensensasikan setiap gerak geriku. "tak soh cara dia la." Ayat ibu bila luahan rasa kucurahkan kepadanya. Mungkin dia telah mamli dengan tingkah laku itu. Ibuku teruk dikerjakan oleh mulut jiranku, tapi sabarnya kadangkala membuak darah mudaku. Waktu itu belum menguasai tahap sabar kerana desakan hidup memerlukan diri lebih ofensif.

Daun tingkap kukuakkan supaya aliran pantas udara malam masuk menyejukkan ruang bilik yang mampu menempatkan satu katil, satu almari pakaian, satu meja, satu kerusi dengan lampu jantung bercahaya kemerahan. Buku kuterus hadap, besok akan hadapi ekonomi sebagai kertas mula. "Za, tak tido lagi ke? Esokmu nak periksa." Suara ibu yang sentiasa mengambil tahu gerak geri belajarku. Macam biasa dan selalu, aku lebih suka diamkan diri daripada menyahut setiap kata dan teguran ibu. Rumah sunyi sepi kerana setiap batang tubuh adik-adikku telah rebah ke tilam nipis berlapikkan lantai kayu di bawah. 

***

Rasa sedih, tidak berbaloi dan segalanya mula menyelubungi diri. Segala yang dibaca semalam langsung tidak ditanya dalam soalan. Aku mula berkelakuan gambaran kecewa kerana apa yang diharapkan dalam peperiksaan siang tadi gagal memenuhi rasa puas hati dalam menjawabnya. Malam itu, aku menonton televisyen semahu mahunya. "Tak baca buku ke malam ni? Tak periksa ke esok?" Tanya ibuku bila melihat aku terlalu asyik dengan menonton. Macam selalunya, aku diam tanpa memberi respon yang baik untuk setiap teguran mungkin suruhan halus ibuku. Jam 11.00 malam, aku bergerak masuk ke bilik. Melihat buku-buku, rasa marah, rasa sedih bercampur baur. Apalah makna membaca jika setiap apa yang dibaca tidak boleh digunakan langsung untuk menjawab soalan. Lebih baik tidur. 

Setiap malamku menjadi seperti rutin tanpa merujuk kepada bacaan walaupun peperiksaan. Peperiksaan dihadapi dengan biasa, setiap jawapan ditulis dengan hanya pengetahuan sedia ada, fakta, huraian dan contoh. Fakta, huraian dan rajah jika perlu. Proses yang berterusan hampir melebihi 2 minggu, akhirnya berakhir. Aku tekad jika rezeki tidak menyebelahiku, biarkan, rezeki Allah masih luas bukan pelajaran semata boleh mengubah hidup. Penting perlu ada akal dan daya usaha. 

***

Zaman payah sebagai manusia hampir dewasa mula tiba. Aku diterima sebagai buruh binaan di sebuah sekolah secara kontrak dengan upah harian RM30. Speksifikasi kerja melibatkan bancuhan simen, mengangkut, mengagihkan kepada individu yang berperanan melakukan plaster dinding. Bancuhan simen jangan terlalu muda dan jangan terlalu tua. Itu pesan mandur, awalnya diajar secara teori, satu bag simen perlu dicampur dengan 4 kereta pasir, keretanya kereta tolak beroda satu. Itulah kemahiran pertama secara pratikal kuraih daripada pengalaman kerja. Setelah kerja plaster dinding selesai, aku ditempatkan pada bahagian bancuh konkrit. Agak letih kerana bancuhan melibatkan batu, sedikit pasir dan simen. Standard kualiti masih sama, jangan terlalu tua, jangan terlalu muda. Malamnya, mendapat tidur yang lena kerana keletihan badan secara fizikal. Tapi mudah dilupakan apabila lena berlaku secara kualiti. Esoknya mengulangi kerja yang sama. Ulangan masa akhirnya sampai penghujung, siap semuanya. Bangunan akan diserah, maknanya kerjaku akan berakhir. Tiada lagi pendapatan buat aku, ibuku dan adik-adik. Payah hidup kerana bergantung kepada peluang yang diberikan. Bila masanya aku mampu mencipta peluang untuk diriku sendiri, gunanya untuk memberi peluang buat ibu dan adik-adik. Hati mula gusar, celaru, takut dan pelbagai mainan perasaan hidup sukar mula menyelubungi diri. Akhirnya, aku kembali ke rumah, menganggur dengan pendapatan simpanan kerja. Melihat ibuku, menyediakan kuih muih untuk dijual timbul rasa kesian. Kuih itulah yang menyara kami untuk belajar adik beradik. 

"Tak da kerja lagi ke?Soalan biasa ibuku. Diam lebih baik daripada menjawab, hanya dalaman yang tersentap dengan teguran itu. Jika mampu kuluahkan, hanya ini akan kukatakan, aku memang mahu pekerja tetapi peluang untuk mencari agak sukar kerana aku hanya tahu menerima peluang yang diberikan. Masih tidak tahu untuk mencipta peluang. Sabarlah ibu. 

"Za, ada keja buat lokan di mahkamah majisret, mu nak dak?" Soalan pada petang selepas habis bermain bola secara kampung. 
"Boleh jugak, bila buleh mula?" Tanyaku ringkas. 
"Ayah aku kata, kalau mu nak, esok gilah." Jawab Nawan ringkas jugak. Dia mengerti manusia aku yang kurang bercakap. Tanpa memikirkan berapa upah aku bersetuju dengan tawaran lisan yang dikemukakan. Peluang telah disediakan, tidak perlu lagi bertanyakan upahnya. Lagipun aku telah biasa bekerja dengan Tok Harun. Upahnya mengikut tahap mahir dan rasa kemanusiaan kepada pekerja-pekerjanya. Standard biasa RM30 sehari. Campur kemanusiaan, biasanya aku akan dapat RM40 sehari. 
"Za, mu bacuh semen. Konkrit lokan." Tok Harun membuat agihan kerja. 
"Gajimu sari, 40 rial.Kontraktor bayar aku mahal sikit." Tok Harun seperti biasa akan terlebih dahulu membaca upah untuk setiap orang yang bekerja dengannya.
***

Hari kedua bekerja, hatiku mula sayu, sedih dan bercampur baur antara kehidupan masa depan dengan kehidupan sekarang yang aku alami. 
"Orang suruh ngaji mu malas. Keja gini la sesuai denganmu." Kata-kata kontraktor yang masih terngiang-ngiang bermain di telinga. Esok hari penentuan, arah mana akan aku ditakdirkan Allah. Aku mula mengerti usaha mengubah hidup perlu dilakukan manusia walaupun Allah telah ada takdir-Nya sendiri untuk kita. Aku faham segala-galanya daripada-Mu. Segala sembahyangku, hidupku dan matiku hanya kepada-Mu. Aku akan terima segala-galanya tanpa soal jawab pada takdir yang kau tentukan. Walaupun mungkin aku perlu meneruskan hidup dengan tulang empat kerat sehingga beranak pinak. Namun, aku tetap mengharapkan pertolongan-Mu. Berilah kepadaku limpah kurnia, hidayah dan pertolongan-Mu. Esoklah ibu kepada segala hala tuju hidupku. Maaflah ibu jika esoknya aku melukakan hatimu.





No comments:

Post a Comment