Monday, January 30, 2012

Catatan Pemikiran Melalui Kefahaman

Bagaimana kerja guru mampu memotivasikan guru untuk terus bekerja? Jika berdasarkan soalan ringkas ini, maknanya kandungan kerja guru yang direka bentuk perlu menarik minat dan sentiasa memberi cabaran serta rangsangan untuk guru terus bekerja. Persoalannya bagaimana? Mampukah kandungan kerja atau kerja itu sendiri mampu memberi motivasi dan kepuasan sedangkan guru merupakan mahkluk sosial yang mempunyai jiwa dan rasa untuk berfikir soal-soal berkaitan keadilan, soal rasa teraniaya, soal-soal permainan politik halus dalam organisasi sekolah? Mungkin di sinilah memerlukan apa yang dipanggil sebagai penyederhana (moderator) dalam melihat bagaimana kandungan kerja guru mampu menjana kerajinan dan mengurangkan beza antara apa yang diingini dengan realiti sebenar yang berlaku. 
Kandungan kerja guru memerlukan penggunaan kemahiran yang pelbagai, daripada keupayaan membaca, menulis dan memikirkan apa yang dibaca serta mengerakkan minda bagi tujuan aplikasi setiap apa yang dibaca bagi diterjemaahkan kepada murid untuk difahami oleh mereka. Perkembangan pendidikan abad ke-21 menuntut guru menguasai kemahiran ICT dalam proses pengajaran dan pengurusan kerja-kerja guru. Keupayaan "soft skill" makin menjadi satu tuntutan dalam mewujudkan hubungan interpersonal dengan murid dan para waris. Kemahiran ini juga dituntut dalam mengendalikan mesyuarat-mesyuarat sesama guru, guru-murid dan guru-waris. Kemahiran dalam memberi interprestasi yang tepat bagi setiap pekeliling ikhtisas dan isu-isu berkaitan perundangan pendidikan menjadi penting kerana lompang perbezaan pengetahuan antara para waris dengan guru semakin mengecil. Kemahiran membuat keputusan tepat dan pantas perlu dikuasai oleh setiap guru yang dilantik sebagai pengurus sekolah termasuk kemahiran dalam pengendalian aktiviti kokurikulum murid yang kebanyakannya bersifat teknikal tepat. Kemahiran dalam mengawal emosi juga dituntut agar guru tidak melakukan tindakan luar biasa daripada batasan biasa dalam menangani karenah murid yang semakin rencam. Kesimpulannya, kepelbagaian kemahiran merupakan darjah penggunaan keseluruhan bakat atau kemahiran bagi melaksanakan sesuatu tugasan atau kerja.  Persoalannya, apakah kita guru merasai satu pengalaman yang bermakna dan berharga apabila semua kemahiran yang kita ada digunakan dalam menyelesaikan tugasan yang diamanahkan? Satu soalan yang abstrak untuk ditukar kepada objektif. Pengalaman bermakna tadi sukar diukur dengan tepat kerana proses tersebut berlaku dalam diri setiap guru.

Bagaimana pula jika seorang guru melakukan kerja dari awal hingga akhir dan kemudiannya dapat merasai atau melihat secara nyata kesan kerja yang dilakukannya. Katakan guru mengajar Sejarah tingkatan 1KB, kemudiannya mengikut murid mengajar Sejarah pada 2KB dan diteruskannya lagi pada 3KB akhirnya dia dapat melihat keputusan Sejarah PMR bagi 3KB. Adakah senario ini mampu membina pengalaman berharga buat guru berkenaan.

Tugas guru sememangnya penting, yang boleh memberi kesan besar kepada hidup atau kerja seseorang sama ada dalam organisasi atau luar lingkungan organisasi. Kejayaan murid dalam peperiksaan dengan cemerlang biasanya akan memberi kesan positif untuk kehidupan murid berkenaan, sekolah sebagai organisasi akan dapat meraih nama atau imej positif pada pandangan masyarakat. Justeru, adakah kepentingan tugas guru boleh dilihat sebagai pengalaman bermakna dan berharga sebagai "mediate" dalam menjana motivasi dan kepuasan kerja sebagai guru?

Bagaimana dengan autonomi sebagai darjah kebebasan dalam menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan tugasan yang ditanggung? Katakan seorang guru diberi kebebasan untuk menjadualkan kerja dan menentukan peraturan yang akan digunakan dalam kerja yang bakal dilakukan, sekiranya berlaku sesuatu yang negatif dalam hasil kerjanya, adakah dia akan merasai pengalaman bertanggungjawab dan  akauntabiliti dalam hasil kerja yang dilakukan tadi? 

Bagaimana pula dengan maklum balas kerja sebagai darjah keberkesanan dalam melaksanakan sesuatu kerja sama ada guru telah melakukannya dengan baik atau sebaliknya. Jika maklumat positif diperolehi tentang cara, kaedah atau kerajinan guru melakukan tugasnya. Adakah ia mampu memberi pengetahuan dan kefahaman kepada guru bagaimana melakukan tugas dengan berkesan dan baik?

No comments:

Post a Comment