Saturday, November 5, 2011

Reka Bentuk Kerja

Latar belakang sejarah reka bentuk kerja dan motivasi dimulakan oleh Taylor's (1911) apabila beliau merumuskan bahawa kerja perlu spesifik, mudah dan mempunyai standard. Jadi dengan ciri ini sesuatu organisasi dapat berfungsi dengan cekap dan serasional mungkin. Bagi Taylor's (1911), kerja yang mudah akan meningkatkan kecekapan pekerja, mengurangkan keperluan kemahiran dan meningkatkan daya kawalan pengurusan. Semua ini akan mampu meningkatkan keuntungan. Begitulah pandangan awal dari sudut sains pengurusan. Pendekatan hubungan secara manusia agak berbeza, bagi golongan ini faktor sosial dan psikologi merupakan perkara penting dalam mempengaruhi produktiviti pekerja, kepuasan dan motivasi. 

Kajian Hawthorne, organisasi pada peringkat awal menumpukan kepada usaha penambahbaikan dan kepuasan kerja. Mereka percaya usaha ini dapat membentuk sikap positif pekerja dan pencapaian mereka. Turner dan Lawrence (1965), mengambil inisiatif dengan cubaan melihat ciri-ciri objektif kerja dalam mereka bentuk kerja. Mereka membuat penilaian antara sifat-sifat tertentu tugas dan pekerja. Dalam hal ini, mereka mengemukakan enam sifat tugas antaranya, kepelbagaian, autonomi, keperluan interaksi, interaksi pilihan, keperluan pengetahuan dan kemahiran serta tanggungjawab. Semua sifat ini diramalkan mempunyai hubungan positif dengan kepuasan pekerja, keberkesanan pekerja dan kehadiran ke tempat kerja.

Hackman dan Oldham (1975), membangunkan Model Ciri Kerja (JCM) dan Soal Selidik Diagnostik Kerja. Mereka mencadangkan bahawa kerja itu sendiri boleh direka bentuk supaya memiliki ciri-ciri asas ke arah menghasilkan motivasi kerja yang tinggi, kepuasan kerja dan pencapaian kerja. Dalam hal ini, kenyataan psikologikal kritikal perlu dipenuhi untuk menghasilkan kerja yang bermotivasi tinggi. Ia terdiri daripada tiga perkara berikut (a) individu mesti mempunyai pengalaman kerja yang bermakna, berharga dan berbaloi; (b) individu mesti mempunyai pengalaman bertanggungjawab terhadap hasil kerja, dia mesti merasai secara peribadi akauntabiliti dan tanggungjawab hasil daripada kerja yang dilaksanakan; (c) individu mempunyai pengetahuan tentang hasil kerja yang telah dilaksanakan, dia memahami keberkesanan dirinya dalam kerja yang telah dilaksanakan. Ketiga-tiga perkara tadi perlu hadir dalam diri individu bagi tujuan membangunkan kekuatan motivasi kerja secara dalaman. Namun, ketiga-ketiga perkara tadi tidak boleh dimanipulasi secara langsung dalam pengurusan kerja kerana ketiga perkara tersebut berlaku secara proses dalaman bagi setiap individu.

Dalam hal ini Hackman dan Oldham (1975) mula memikirkan bagaimana ketiga-ketiga perkara tadi boleh dicipta. Mereka mengenal pasti lima teras ciri kerja, antaranya, (a) kepelbagaian kemahiran; (b) pengenalan tugas; (c) kepentingan tugas; (d) autonomi dan; (e) maklum balas daripada kerja. Kelima-lima perkara ini boleh memupuk kenyataan psikologi kritikal tadi. Anggapan pengkaji, kepelbagaian tugas, pengenalan tugas dan kepentingan tugas boleh mengukur pengalaman bermakna; autonomi mengukur pengalaman bertanggungjawab terhadap hasil kerja dan maklum balas kerja boleh mengukur pengetahuan terhadap kerja yang telah dilakukan. Potensi motivasi kerja yang tinggi akan wujud apabila salah satu daripada tiga dimensi kerja yang menyumbang kepada pengalaman bermakna tinggi dan kedua-dua dimensi autonomi dan maklum balas kerja tinggi.

Hackman dan Oldham (1975) juga memasukan keperluan kekuatan perkembangan sebagai moderator dalam hubungan antara teras ciri kerja dengan kenyataan psikologi kritikal dan hubungan antara kenyataan psikologi kritikal dengan hasil yang terjadi kepada individu yang melakukan kerja. Keperluan kekuatan perkembangan dirujuk kepada keperluan terhadap pencapaian dalam kerjaya, pengetahuan dan perkembangan kerjaya. Hackman dan Oldham (1975) percaya individu yang mempunyai perkembangan kerjaya yang positif akan bertindak balas secara positif terhadap teras dimensi kerja yang menyumbang kepada perkembangan kerjayanya.

MAT ZAINI ABDULLAH
B.A. (Hons) UKM
Diploma Pendidikan UKM
Msc (Educational Management) UUM

No comments:

Post a Comment