Tuesday, November 15, 2011

Dari Mudah Kepada Kompleks, apa hasilnya?

Proses perkembangan hidup manusia selalunya asal daripada paling mudah sehinggalah kepada paling kompleks. Dalam perkembangan hidup berekonomi, bermula dengan sistem sara diri, bercucuk tanam, berternak dan segala aktiviti ekonomi untuk kecukupan diri dan keluarga. Mudahnya, ikan ada di bendang padi, padi telah sedia ditanam, ulaman ada yang tumbuh semulajadi, ayam itik sumber bekalan daging jika ingin makan daging pada hari itu. Sistem ekonomi saradiri merupakan sistem ekonomi rutin yang mengulangi aktviti yang sama kadangkala setiap hari dan setiap masa malahan hingga ke beberapa generasi. Waktu itu, peribahasa kais pagi makan pagi kais petang makan petang agak bersangkutan tetapi masyarakat pada waktu itu tidak sampai mengalami kebuluran akibat kurang bahan makan. Sesuai dengan fitrah akal yang cuba sentiasa mencari kelainan, akhirnya timbul aktiviti sistem barter yang popularnya sistem tukar barang antara dua atau lebih dua manusia. Si Ali membela itik yang menghasilkan telur, sementara Si Abu membela ayam, yang juga menghasilkan telur. Ali dan Abu secara saradirinya hanya makan telur itik dan telur ayam. Ada hari terlintas untuk Ali merasai rasa telur ayam begitulah juga Abu. Kreativiti mereka ini akhirnya mewujudkan aktiviti Ali dan Abu menukar hasil pertanian untuk memenuhi keinginan merasa mereka. Mungkin pada waktu itu, tahap berfikir cara ini telah dianggap sebagai tinggi dan cukup ilmiah. Sistemnya cukup adil, dua biji telur itik Ali ditukar dengan dua biji telur ayam Abu. Proses ini mungkin berjalan agak lama sehinggalah timbul masalah yang kompleks apabila soal perkadaran dalam tukaran gagal dilaksanakan secara adil dan pratikal. Hassan pada masa sama berkeinginan merasai telur ayam tetapi dianya hanya membela lembu. Adakah wajar seekor lembu ditukar semata-mata untuk mendapat beberapa biji telur ayam. Akal Hassan yang sihat akan mengatakan dia mengalami kerugian kerana kegagalan dalam menentukan kadar pertukaran. Jalan mudah bagi Hassan ialah melupakan soal untuk merasai telur tadi. Keinginannya gagal dipenuhi. Akal Hassan yang cerdik mula memikirkan pengkaedahan baru.

No comments:

Post a Comment