Saturday, October 15, 2011

Luar kotak atau sebenarnya dalam?

Telah lama dulu disyorkan pemikiran di luar kotak, mudahnya merujuk kepada cara berfikir luar biasa daripada biasa. Kalau dulunya apabila membawa murid ke kejohanan olahraga daerah, fikiran biasanya kita sewa bas, luar kotaknya kita biarkan murid pergi secara sendirian sama ada menaiki bas atau berkenderaan sendiri. Timbul pula soal keselamatan, soal kehadiran lewat sedangkan acara akan diambil murid akan berlangsung awal, timbul juga soal kritikan waris dalam mesyuarat agung PIBG. Jadi apa yang sebenarnya berfikir di luar kotak? Mungkin maknanya satu pemikiran yang bila dilaksanakan mengurangkan isu keselamatan, punctual dan mengurangkan kritikan waris sedangkan idea tadi sebenarnya berfikir untuk mengurangkan kos kewangan sekolah apabila sistem pendidikan negara mula menjadi percuma tahun 2012. Berfikir di luar kotak sebenarnya memerlukan keberanian, istiqomah keputusan dan kefahaman kelompok yang menerima kesan daripada keputusan berkenaan. Berfikir luar kotak juga tidak boleh lari daripada menilai kembali kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman daripada keputusan tersebut. Perlu juga mengambil kira yang utama diutamakan. Cuma kita amat berharap satu mekanisme percuma dalam pendidikan negara mengambil kira pada bahagian mana boleh percuma dan pada bahagian mana perlu sedikit bayaran. Jika percuma berkonsepkan semua akan dibantu oleh pihak kerajaan, maka soal keputusan menjimatkan kos mungkin kurang perlu dibuat oleh pihak sekolah cuma pihak sekolah hanya mengawal perbelanjaan agar tidak berlaku pembaziran kepada benda yang kurang penting.
Pemikiran luar kotak pernah dihasilkan oleh seorang guru berkaitan robotik untuk mengesan pembesar suara. Pemikirannya terhasil apabila kurang puas terhadap sistem pembesar suara waktu perhimpunan sekolah. Dengan kos hampir RM25,000.00 robotik berkenaan berjaya dicipta malahan mampu menang pertandingan inovatif peringkat kebangsaan dan ke Tokyo untuk menyertai pameran ciptaan. Persoalannya ke mana robotik tersebut? Gurunya, alhamdulillah dilantik guru cemerlang DGA32. Satu produk satu kecemerlangan diri. Tindakan susulan untuk mengembangkan idea guru tadi ternyata tiada, guru tadi hanya guru sebagaimana guru-guru lain. Tiada usaha untuk menyediakan geran penyelidikan lanjutan sehingga menghasilkan satu produk yang boleh digunakan secara komersial. Begitu juga usaha-usaha untuk mendapatkan hak paten bagi guru berkenaan. Terbukti peruntukkan penyelidikan dan pembangunan bagi tujuan pendidikan amat kecil berbanding bidang-bidang lain yang tidak melibatkan guru-guru di sekolah. 


Pemikiran luar kotak memerlukan keberanian merentasi budaya Melayu, kebiasaan sekolah, amalan sekolah dan budaya sekolah serta iklim sekolah yang telah lama menjadi darah daging sesebuah sekolah. Kadang kala memerlukan jiwa yang keras antara kepentingan murid, pendidikan dan kepentingan guru. Sebenarnya pemikiran luar kotak perlu mengambil kira banyak perkara apabila melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah yang bukan boleh diurus sebagaimana kilang berasaskan budaya korporat. Tidak semua budaya korporat boleh diterapkan ke dalam sistem urus tadbir sekolah kecuali hal-hal berkaitan urus tadbir kewangan, harta modal atau inventori atau mengurus makmal komputer. Di kilang sebagai pasaran terbuka amat mudah, jika seseorang pekerja merasakan dia tidak lagi sesuai dengan kilang berkenaan, dia boleh kemukakan notis berhenti. Tapi dalam sekolah, jarang berlaku guru akan mengemukakan notis berhenti semata-mata tidak bersetuju dengan cara seorang pengetua melainkan mengisi borang pertukaran walaupun kadangkala perlu menunggu sehingga bertahun-tahun untuk ditukarkan. Kilang boleh diurus secara autoriti tanpa gangguan secara birokrasi. Sebuah sekolah terlalu banyak, PIBG, PPD, JPN, SEKTOR JPN, KPM, LEMBAGA PEPERIKSAAN, PENAZIRAN, MPM yang ada tingkatan enam dan MASYARAKAT SEKITAR, YB-YB dan KADANGKALA MENTERI juga EXCO NEGERI. Itulah sekolah sebagai institusi sosial. 
MAT ZAINI ABDULLAH

No comments:

Post a Comment