Saturday, October 15, 2011

Hambatan Gajikah atau sara hidup?

16 Mei diumumkan beberapa insentif untuk golongan guru sebagai mengenang jasa golongan tersebut. Macam biasanya akan timbul soal tidak puas hati bagi golongan yang melihat nasib mereka tidak dibela. 20 Mei, Menteri Pelajaran memberi kaedah psiko dalam usaha menyedapkan hati golongan yang kurang berpuas hati. Isu puas hati merupakan soal yang sentiasa wujud dalam bidang pendidikan apabila berlaku sesuatu perubahan. Di sekolah, di pejabat pelajaran daerah, di jabatan malah di kementerian soal tidak puas hati sentiasa ada. Apa sebenar puncanya, adakah semata-mata datang daripada soal gaji? Atau soal sara hidup yang makin meningkat kosnya.

Dulu bila diperkenalkan Sistem Saraan Baru, timbul tidak puas hati kerana dikatakan wujud unsur pilih kasih pengetua, unsur-unsur bodeisme, kronisme, nepotisme dan pelbagai isme yang timbul daripada sistem tersebut. Kemudian diperkenalkan Sistem Saraan Malaysia, timbul soal guru yang telah tua gagal dalam peperiksaan tahap kecekapan, guru muda gajinya lebih tinggi berbanding guru tua yang telah lama berjasa dalam pendidikan negara secara logik, bukan ada bukti wujud secara empirikal. Hal ini sebenarnya berkait soal awal-lewat masuk dalam perkhidmatan. Golongan guru muda walaupun baru tetapi aspirasi dan konsep yang mereka bawa biasanya lebih dekat dengan keinginan murid-murid kerana dunia guru baru masih dekat jurang generasi berbanding guru tua yang masih menggunakan pendekatan 70-an dan 80-an tanpa mengambil kira soal perkembangan teknologi dan inovasi dalam pendidikan hanya bersandar kepada lama masa mengajar. 

Soal gaji ini senang untuk ditentukan jika kita balik kepada fitrah manusia. Soal pahala dan dosa. Logiknya, bila terlalu lama hidup dosanya lebih banyak jika hidup hanya berlandaskan dunia, maknanya yang baru kurang dosanya walaupun hidup juga berlandaskan dunia. Tapi jika yang muda hidup berlandaskan agama mungkin pahalanya lebih banyak berbanding yang tua tadi begitu juga yang tua berbanding yang muda jika cara hidup landasan agama diamalkan. Sebenarnya soal ganjaran pahala dosa tidak begitu diambil pusing kerana tiada makna dalam hidup kita yang terlalu cintakan dunia. Pahala dosa suatu yang ghaib sedangkan kesan mempunyai wang yang banyak dapat dilihat secara jelas di dunia, berumah besar, berkereta besar, berpakaian berjenama, kemampuan melancong dan banyak lagi kesan memiliki wang yang banyak. Pahala tidak boleh ditukar dengan beras, gula, gas masak, bayaran bil, sewa rumah berbanding wang. Tidak pernah timbul soal tidak puas hati dalam soal-soal pahala mahupun dosa. Tidak timbul soal guru tua mengatakan pahala aku lebih banyak berbanding engkau guru muda atau guru muda mengatakan dosa guru tua lebih banyak berbanding mereka guru muda. Jadi soal gaji banyak kurang sebenarnya telah mendekati kaedah pahala dosa. 


Pada pihak kerajaan soal kewangan menjadi punca kegagalan untuk memenuhi tuntutan golongan guru. Kenaikan gaji membawa erti peningkatan dalam belanja mengurus emolumen. Sementelah belanjawan negara kebelakangan ini sentiasa defisit yang membawa erti hasil kerajaan berkurangan sedangkan belanja sentiasa meningkat. Lompang antara hasil dengan belanja memerlukan kerajaan untuk berhutang. Memperlahankan projek-projek boleh memperlahankan aktiviti ekonomi dan boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Akhirnya aliran pusingan wang dalam negara akan menjadi perlahan kerana perbelanjaan daripada isi rumah juga perlahan disebabkan pegangan wang dalam kalangan isi rumah berkurang. Soalnya, adakah hanya projek menjana pendapatan kepada isi rumah? Setahunya, projek memberi pulangan yang agak besar atau pendapatan utama kepada golongan kontraktor, sesetengah isi rumah hanya menjadi buruh dalam soal-soal pembinaan. Soalnya adakah buruh hanya wujud dalam projek-projek besar sahaja? Adakah membina rumah untuk golongan miskin secara besar-besaran tidak memerlukan buruh? Makna apa pembinaan mega seperti Menara Petronas, Menara PNB beratus-ratus tingkat jika hanya menjana ekonomi sewaktu aktiviti pembinaan dan akhirnya apa yang dapat daripada pembinaan tersebut. Jika bentuk pembinaan ini ditukar kepada pembinaan kemudahan asas seperti jalan raya di Sabah dan Sarawak atau di kawasan-kawasan luar bandar atau pembinaan bangunan sekolah di sekolah-sekolah yang daif juga mampu menjana pendapatan kepada isi rumah, kontraktor. Ekonomi juga boleh dijanakan seperti pembinaan mega. Jadi sudah sampai masanya dana digunakan dalam konsep UTAMAKAN YANG UTAMA.

Berbalik kepada soal gaji tadi, biarlah ia berlaku secara fitrah manusia maknanya siapa yang bekerja lebih ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti pendidikan maka dialah diberi gaji yang lebih. Bukan berlandaskan jangka masa berkhidmat kerana lama perkhidmatan bukanlah bermakna terus wujud kualiti dan peningkatan dalam produktiviti. Soalnya bagaimana proses untuk memberi kenaikan gaji? Bila kata fitrah maka setiap individu guru akan menentukan adakah dia layak untuk menikmati kenaikan gaji berganda jika berlandaskan pergerakan gaji melintang atau anjakan gaji.Kaedahnya sebagaimana kita belajar, yang rajin berusaha selalunya mendapat gred yang baik berbanding yang kurang berusaha. Yang rajin biasanya akan memberi nilai tambah untuk setiap produk yang mereka hasilkan, yang malas hanya berusaha untuk memenuhi keperluan minimum penilaian. Mengajar hanyalah keperluan minimum kerana guru semua perlu mengajar. Yang dikatakan nilai tambahnya bagaimana guru memanipulasikan kandungan pengajarannya agar lebih difahami murid dengan bantuan ABM yang bersesuaian. Panel yang menilai guru bagi tujuan kenaikan gaji perlulah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak dan sukar dipertikaikan kewibawaannya. Guru juga diberi peluang untuk memilih 2 hingga 3 panel untuk memberi keesahan untuk setiap kerja yang dilakukan.

MAT ZAINI ABDULLAH











No comments:

Post a Comment