Wednesday, October 19, 2011

Dulu Sekarang, Bezanya Di Mana?

1979, mula memasuki sekolah rendah. Bendanya, belajar, bersukan dan aktiviti pembinaan sahsiah. Kemuncaknya, penilaian darjah lima, elok keputusannya maka murid akan berpeluang ke mana-mana institusi sekolah yang ternama seperti Maktab Rendah Sains Mara dalam tingkatan satu. Apabila jam 1.30 petang pulang ke rumah, jika ada latihan rumah sukan, guru akan mengumumnya. Jika ada, jam lebih kurang 3.00 petang datang kembali ke sekolah untuk mengikuti latihan rumah sukan. Jika tidak hadir, akan ada hukuman yang akan dikenakan.

1981, memasuki sekolah menengah, rutinnya lebih kurang sama dengan sekolah rendah. Kemuncaknya banyak, tingkatan 3 semua murid menduduki SRP sementara tingkatan lima SPM dan tingkatan 6 STPM. Semuanya berorientasikan peperiksaan. Di tingkatan 6, murid diberi peluang memimpin dan mengurus persatuan sendiri, iaitu, Persatuan Tingkatan Enam (PERTINA). Adalah sedikit kelainan berbanding sekolah rendah dan sewaktu menengah atas dan menengah rendah. Terasnya masih sama orientasi peperiksaan. Waktu ini masyarakat masih memandang tinggi kepada murid yang cemerlang dalam akademik malahan lebih tinggi kepada murid yang berjaya ke universiti. Sementelah pula kemudiannya bekerja dengan pekerjaan yang baik. Dulunya pendidikan telah dilihat sebagai agen mengubah nasib diri dan keluarga.

1992, memasuki universiti, terasnya juga sama, untuk segulung ijazah perlu mengambil jumlah unit tertentu dan mestilah perlu lulus peperiksaan dengan purata nilai gred kumulatif tidak boleh kurang 2. Bezanya, di universiti siswa diberi peluang untuk membina perkembangan diri secara lebih berdikari sama ada dalam bidang sukan, kepimpinan dan segala berdasarkan inisiatif diri siswa. Akhirnya, peperiksaan juga menjadi penentu, cuma untuk anugerah tertentu mengambil kira perkembangan diri siswa, keterlibatannya dalam sukan, kepimpinan dan segala yang menjadi punca pembinaan siswa yang versatiles, yang serba boleh dan hendaknya serba tahu. Waktu di universiti, ICT mula menjadi medium utama dalam menyampaikan bahan pembelajaran. 

1997, mula kembali ke sekolah sebagai guru, terasnya masih sama, masih berorientasikan kecemerlangan peperiksaan. Bezanya, beberapa mata pelajaran baru diperkenalkan seperti ekonomi asas, perdagangan, ICT, dan banyak lagi. Ruang peluang belajar kepada murid makin melebar. Capaian ICT mula meluas. Wujud sekolah seni, sekolah vokasional, sekolah sukan, sekolah agama, SBP, terbaru kolej vokasional. Dasar 60:40 diperhebatkan. 60% sains dan 40% sastera. Bagaimanapun perubahannya, terasnya masih tak berubah masih berorientasikan peperiksaan. Malahan, penilaian murid mula di akar umbi melalui pentaksiran berasaskan sekolah. Reka bentuk kerja guru juga berubah, bukan sekadar mengajar di bilik darjah, malahan lebih melebar. Kegilaan kepada kecemerlangan peperiksaan menyebabkan guru-guru perlu melebihkan masa untuk menjana kecemerlangan murid. HAKIKATNYA HANYA INFRASTRUKTUR YANG BERUBAH TERAS PENDIDIKAN MASIH SAMA, HANYA KECEMERLANGAN AKADEMIK. BILA KITA AKAN MELEPASI ZAMAN-ZAMAN YANG TELAH BERLALU. 

MAT ZAINI ABDULLAH
B.A.(Hons), UKM
Diploma Pendidikan, UKM
Msc (Educational Management), UUM

No comments:

Post a Comment