Wednesday, October 12, 2011

Dalam banyak idea yang dijana untuk keputusan, akhirnya kita akan memilih satu sebagai keputusan. Akal manusia berupaya menjana kepelbagaian idea dalam cubaan menyelesaikan masalah. Menariknya, bila dua idea berbeza muncul akan terhasil idea ketiga, keempat, kelima dan kadang kala tidak putus penjanaannya. Mengurus manusia sebenarnya mengurus arah aliran akalnya. Pembentukan daya fikir manusia banyak dipengaruhi oleh pengetahuan, pengalaman hidup dan persekitarannya. Kadangkala apabila diri terancam arah aliran manusia akan berubah untuk mengatasi ancaman tersebut. Manusia yang merasakan dirinya tidak selamat akan mengambil tindakan untuk menyelamatkan dirinya. Seorang remaja yang menaiki motorsikal tanpa lesen akan cuba mengelakkan laluan yang terdapat polis. Seorang penagih dadah akan berusaha untuk mendapatkan dadah bagi menghilangkan rasa ketagihnya. Keunikan manusia keupayaan untuk memberi pertimbangan untuk dirinya. Seorang yang berfikiran penagih dadah akan sentiasa cuba memenuhi kehendak dirinya dengan berusaha untuk mendapatkan dadah. Bagi kita manusia yang tidak berfikiran dadah akan menganggap perbuatan tersebut sebagai tidak kena. Namun keperluan dadah mengatasi segala-galanya. Daya fikirnya akan berlegar sekitar bagaimana untuk mendapatkan dadah tanpa berputusan. Latar belakang telah mencorak cara berfikir penagih. Akhirnya, dunia mereka dibentuk berdasarkan keperluan dadah. Keperluan dadah sebagai pengikat akal untuk mengerakkan motivasi dalam. 
Kehendak dan keperluan membentuk corak akal manusia. Kehendak dan keperluan umpama dadah yang ada dalam diri manusia. Kehendak dan keperluan yang tidak terkawal dalam diri manusia akan merosakan jasab serta roh manusia sebagaimana kesan dadah. Keperluan mudah dikawal kerana melibatkan perkara-perkara asas untuk manusia hidup. Awal akal manusia berjuang memenuhi keperluan asasnya. Sukar dikawal ialah kehendak dalam diri, kehendak manusia sentiasa bertambah dan berubah-berubah. Akal penat kerana melayan kehendak. Kehendak sentiasa membina motivasi dalaman untuk akal berfikir bagaimana untuk memperolehnya. Manusia yang berjaya menundukkan kehendak akan hidup sekadar yang ada, menerima apa yang ada, hanya memberi apa yang ada, sentiasa menilai diri dan pentingnya tahu dan kenal untuk mengucapkan syukur. Soalnya adakah manusia boleh dipengaruhi melalui kehendak dan keperluan? Biasanya bila satu kehendak dipenuhi akan timbul kehendak-kehendak baru. Bolehkah kita sentiasa memenuhi kehendak orang walaupun terpaksa mengorbankan kehendak sendiri?

MAT ZAINI ABDULLAH

No comments:

Post a Comment