Monday, August 15, 2011

Meraih Kekuatan Diri

16 Julai 2011, memo rasmi bertukar ke SMK Baling dari SMK Parit Panjang. Malamnya, kawan menghantar sms, katanya, senyap-senyap aje bertukar. Lantas menjawab smsnya dengan kata, itulah penamatnya, jiwa mulai tenteram, otak mula lapang. Bila dirujuk kembali balasan sms itu, baru tersedar rupanya selama ini kerja seharusnya mampu mententeramkan jiwa dan melapangkan minda. Soalnya macam mana boleh tenteram jika hari-hari berhadapan dengan pelbagai karenah manusia yang kadang kala gagal memenuhi standard yang ditetapkan. Timbul pula pertanyaan, apa standard yang ditetapkan. Bila berfikir kembali, baru tersedar standardnya tidaklah ketat sangat "jujur dalam perbuatan" dan "benar dalam perkataan". Hati mula bertanya, masih wujudkah manusia ini? Selama 15 tahun bekerja selalunya tidak ketemui manusia yang memiliki dua nilai ini. Selalunya nilai manusia akan berubah dengan keadaan diri dan keperluan diri. Semua yang diketemui menghadapi masalah menentukan sikap dalam menentukan nilai.

Dari sini mulai mengenal diri, prinsip dipegang dan sikap yang telah ditentukan. Rupanya aku kategori manusia yang pentingkan kerja secara berkesan atau kompentensi bukan semata-mata pengalaman lama yang diraih semasa meniti bibit masa pekerjaan itu. Mementingkan manusia yang tahu apa yang dikerjakan secara komteporari bukan hanya sentiasa mencungkil kisah silam yang nyata berbeza masa dan ketika. Mementingkan yang diam pengalaman tetapi melakukan adaptasi terhadap pengalaman untuk membina pengalaman yang baru kepada generasi baru yang dihadapi. 

Selalunya manusia akan menganggap sesuatu baik bila menepati kehendaknya. Jarang manusia akan berkata yang tegas dengan kerja, yang benar dengan kerja, yang sentiasa mahukan kerja bila berada di tempat kerja sebagai yang baik. Satu kepelikan manusia, masih boleh beramah mesra dengan manusia yang dikutuk sebagai teruk di belakang. Mungkin tradisi kita manusia sebagai pelakon menyebabkan kita mampu berdrama sehingga akhir. Tentukanlah sikap kita walaupun kadang kala terpaksa menongkah arus dan mendatangkan mara bahaya yang besar, pentingnya kita jujur. Tanggapan manusia hanya persepsi, bila tiba waktunya persepsi tersebut akan berubah. Dahulunya dianggap sebagai penentang tetapi apabila apa yang pernah kita rasa mula dirasai oleh mereka, maka waktu itulah persepsi mereka mula berubah. Diri manusia banyak bertindak berdasarkan keuntungan dirinya. Unsur pemikiran ini telah lama terserap dalam hidup manusia melalui pendidikan yang diterima kerana generasi sekarang banyak yang terdidik melalui sistem idea logik akal manusia bukan berasaskan sistem maha pencipta yang berlandaskan fitrah. Jadilah dirimu dan kekallah dirimu selama mana ia tidak bertentang dengan fitrah manusia berasaskan mahakarya hidup dan contoh hidup kekasihnya.




No comments:

Post a Comment