Monday, July 11, 2011

Merakyatkan Negara

Fitrah manusia inginkan kepada kebenaran, keadilan dan kejujuran (sekadar menyebut beberapa nilai sahaja), jika fitrah ini cuba dihalang maka manusia yang berprinsip tegar terhadap nilai berkenaan akan mula mezahirkan secara pelakuan. Uniknya, mereka mampu bersatu atas dasar nilai yang sama walaupun berlainan pegangan agama. Itulah uniknya fitrah manusia ciptaan Allah. Hakikat kebenaran melalui masa akan boleh menyebabkan kegagalan pembohongan. Di sinilah perlunya kesabaran dan jalan untuk menonjolkan kebenaran itu, bukan hanya semata-mata bertawakal kepada Allah. Hanya manusia yang mampu menggunakan akal fikir mampu sampai kepada kebenaran dan cantiknya perlu berbantukan panduan Allah dan nabinya.

Bersih sebagai satu usaha merakyatkan negara. Sememangnya, setiap seorang pemimpin asalnya rakyat dan dinaikkan darjatnya sebagai pemimpin kerana dia mendapat kepercayaan rakyat. Seharusnya pemimpin yang didarjatkan oleh rakyat perlu menjaga rakyat, menghambakan diri kepada rakyat, merasai denyut jantung penderitaan rakyat, merasai kejerehan rakyat berhadapan dengan hidup mereka. Meletakan diri mereka hampir kepada hidup rakyat. Mengorbankan segala-segala untuk rakyat. Dirinya milik rakyat. Rakyat seharusnya mengetahui kebenaran apa yang berlaku kepada negaranya melalui pemimpin rakyat tadi. Keterbukaan dalam soal maklumat penting dalam era baru. Semakin disembunyikan kebenaran semakin dicari kebenaran berkenaan. Itulah fitrah manusia yang suka kepada kebenaran. Semakin disebar pembohongan semakin terbukti ia satu pembohongan. Semakin tertonjol kelemahan maka tungulah keruntuhan yang akan berlaku. Sejarah akhir manusia hanya kebenaran yang diterima. Kegemilangan kerajaan Islam walaupun cuba disembunyikan oleh orientalis barat akhirnya terdedah jua kebenaran tersebut. Malah banyak perkara telah ditiru oleh orientalis barat untuk urusan harian mereka. Mereka menentang agama allah tetapi mengambil ajarannya untuk urusan harian dunia mereka. Kita yang buta agama menganggap barat terlalu hebat tetap akhirnya kita tertipu dengan kehebatan tersebut, ia bukan proses kreatif asli tetapi diubah suai berdasarkan ilmu yang ada dalam agama Islam.


Mat Zaini Abdullah

No comments:

Post a Comment