Saturday, June 18, 2011

Rasa

Banyak rasa bila berada dalam soal perguruan. Ada rasa dirinya dianiaya, ada rasa dirinya sahaja yang hebat, ada rasa dia mengetahui segalanya, ada rasa pengetua hanya bergantung kepada dirinya, ada rasa kalau dia tiada di sekolah, sekolah akan gagal dikawal. Ada yang rasa dirinya lebih layak berbanding orang lain. Ada rasa guru itu pemalas, ada rasa guru itu tidak boleh dipercayai. Ada rasa guru ini bagus kerana menurut segala kehendak pihak pengurusan walaupun terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga di rumah atau masa untuk beribadat. Semuanya banyak kepada rasa.


Indikator untuk menilai secara profesional sememangnya diwujudkan tetapi orang yang diberi tanggungjawab untuk menilai sebenarnya banyak menggunakan rasa. Maka sistem pendidikan kita banyak berkembang atas dasar rasa orang yang mengepalai. Dulu kita rasa jika sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris maka ia dapat meningkatkan penguasaan bahasa inggeris. Tapi sekarang ini rasa itu telah ditarik balik atas rasa politik atau atas rasa semata-mata. Sekarang ini timbul pula rasa sekolah perlu dikategorikan sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) untuk mewujudkan daya saing langsung antara sekolah. Dan rasa ini mungkin akan terkubur sebagaimana rasa PPSMI. Rasa sekolah kluster telah mati. Mungkin kita terlalu gila mengikut rasa tetapi tidak istiqomah dengan rasa itu. Pendidikan dirasai sebagai elemen yang perlu berubah-ubah kerana pendidikan sentiasa berubah dan perlu berubah. Soalnya betulkah? Nilai yang dulu mungkin dianggap benar tetapi apabila manusia makin ke depan nilai itu langsung tidak dihiraukan. Dulu soal hormat kepada orang lain amat terkesan tetapi rasa hormat sekarang ini banyak bergantung kepada peribadi yang rasa boleh dihormati. Tidak hairanlah jika terdapat orang-orang besar dimaki hamun kerana peribadi yang dimiliki gagal untuk dihormati. Cara berfikir sekarang ini makin selektif bukan menerima secara dogma sahaja. Tetapi nilai sentiasa bergerak bersama masyarakat cuma kaedah memberi pengertian kepada nilai makin berubah bukan boleh diterima sahaja. Serapan budaya kapitalis yang mementingkan diri menyebabkan nilai mula diberi pengertian kepada kebaikan untuk diri, kadang kala gagal membezakan antara nilai baik dengan nilai tidak baik. Berjaya orientalis barat untuk mengaburkan minda manusia berkaitan nilai.

Dulu nilai seks bebas antara lelaki perempuan amat ditentang oleh generasi awal kerana kuat pegangan kepada agama. Sekarang ibu bapa sudah boleh menerima kedatangan lelaki ke rumah sebagai kawan kepada anak perempuan mereka. Malah terdapat yang melampau melakukan hubungan seks dalam rumah sewaktu ketiadaan ibu bapa. Si ibu bapa mengharapkan berlaku keterbukaan nilai secara terkawal tetapi si anak langsung tidak tahu macam mana untuk mengawalnya. Itulah rasa nilai yang berbeza antara muda tua. Yang muda tadi akan menjadi tua dan mungkin nilai tadi akan dibawanya jika dia gagal kembalikan dirinya kepada agama Allah.

No comments:

Post a Comment