Sunday, June 12, 2011

Kecelaruan

Yang celaru biasanya tiada pegangan antara yang benar dengan yang batil. Yang celaru juga biasanya antara kesamaran maklumat dengan ketepatan maklumat. Celaru juga berlaku apabila tiada konsisten dalam penetapan sesuatu. Punca celaru di mana ya? Akhirnya kita kembali kepada diri kita manusia. Punca celarunya datang daripada kita manusia. Hakikat manusia sememangnya telah celaru disebabkan panduan asal yang harus diikuti ditinggalkan. Perkembangan ilmu menyebabkan berlaku pelbagai serapan budaya yang kadang kala tanpa tapisan yang berupaya bertindak sebagai penapis. Air teh yang dibentuk daripada halusan daun teh yang diproses ditapis dengan menggunakan penapis, akhirnya menghasilkan air teh tanpa halusan serbuknya, diminum dengan mudah dan puas hati oleh pembancuh air teh tadi. Kalau tidak ditapis juga ditunggu supaya halusan serbuk teh mendap pada bahagian bawah yang akhirnya menjadikan air tehnya seolah-olah tanpa serbuk teh, cantik di atas tetapi berserbuk di bawah. Yang satu diasing terus antara air dengan serbuk teh sementara yang satu lagi bercampur terus cuma masa yang menyebabkan air teh tadi menjadi senang untuk diminum.

Dalam minda manusia bercampur antara maklumat benar dan tidak benar. Yang tidak benar kadang kala menjadi benar sementara yang benar kelihatan seolah-olah gagal kebenarannya. Kehebatan manusia berhujah boleh menjadikan yang batil itu satu kebenaran, sementara kegagalan menyakinkan hujah menjadi kebenaran sebagai satu yang tidak benar. Itulah hebatnya minda manusia dalam manipulasi maklumat mindanya. Sekarang ini rajin membaca suatu yang terpuji tetapi keupayaan memberi tapisan untuk setiap maklumat yang dibaca atau diterima lebih terpuji. Soalnya berapa ramai yang membaca dan memberi fikiran kepada perkara yang dibacanya. Selalunya, itu yang dibaca itulah yang diterima sebagai maklumat yang benar terutamanya bila maklumat itu datang daripada orang yang kita sukai dan percaya. Selalunya maklumat diterima ada diambil sebahagiannya yang memenuhi persetujuan akal selapis untuk disedapkan dengan senario semasa. Ada juga yang cuba menguji daya minda penerima maklumat dengan sengaja memberi maklumat yang tidak benar. Bila tiba soal jawab akhir, timbul pula soal minda yang dikurniakan oleh Allah mengapa tidak digunakan untuk ditapis maklumat yang diberikan. Mengapa terus terima. CUKUP CELARU SEKARANG BAK KATA SAIDINA ALI KEBATILAN YANG DIRANCANG BOLEH MENGALAHKAN KEBENARAN YANG TIDAK DIRANCANG. Kebenaran selalunya terjadi secara bersahaja daripada orang yang jujur sedangkan kebatilan biasanya wujud apabila dirancang daripada manusia yang ada kepentingan terhadap sesuatu. Untuk menentukan kebenaran atau kebatilan sesuatu maklumat kita hanyalah perlu kembali kepada diri manusia yang membawa maklumat tersebut, keperibadiannya, amalan hidupnya dan tingkah lakunya. Tingkah laku lebih benar berbanding percakapan. Adakah sama seorang yang berpegang kepada agama secara jujur dengan seorang yang berpegang kepada agama atas kepentingan sesuatu. Jika betul berpegang kepada agama adakah percakapan, tingkah laku, tindakan dan cara hidupnya menjurus kepada tuntutan agama.

MAT ZAINI ABDULLAH
-membangunkan negara berkebajikan-semoga Allah kabulkan

No comments:

Post a Comment