Monday, June 20, 2011

Antara kebenaran objektif, subjektif dan imaginasi

Fitrah manusia inginkan kebenaran. Secara matematik apabila satu ditambah satu dapatan dua. Kebenaran matematik dikatakan objektif sedangkan hakikatnya akal manusia yang waras menerima kebenaran tersebut. Tetapi dalam soal-soal kerahsiaan satu campur satu mungkin tidak diterima sebagai dua, kerana dua mungkin membawa konotasi berbeza dengan keinginan rahsia tadi. Hakikatnya kebenaran manusia hanyalah ciptaan akal yang asalnya subjektif cuma diyakinkan dan kemudian diterima sebagai sesuatu yang benar. Kemudian dibezakan antara konkrit dengan abstrak. Kelebihan matematik kerana terdapat ciptaan angka yang berbeza antara satu, dua dan tiga sehingga angka-angka yang oleh manusia apabila tiba kepada infiniti di situ berbalik kepada kebenaran subjektif. Kebenaran yang lahir secara perasaan biasanya akan berbalik kepada soal-soal subjektif kerana selalunya tiada pengukur yang diterima pakai. Jika suhu dirasai secara penderiaan hanya mampu mengatakan panas, sejuk, suam tetapi bila termometer digunakan maka angka kepanasan, kesejukan dapat dinyatakan. Objektif atau konkrit biasanya dapat dilihat, dipegang, dirasa atau secara nyata. Sementara subjektif hanya diri yang mengalami mampu merasakan. Oleh itu, diri manusia ada peka kebenaran objektif dan ada peka kebenaran subjektif.

Dalam profesion perguruan kedua-dua kebenaran ini diajar kepada guru-guru kemudian diperturunkan kepada murid-murid di sekolah. Pegangan kebenaran objektif cukup mudah melalui penderiaan nyata seperti mata dan telinga. Guru yang tidak selektif akan mudah terperangkap dengan kebenaran ini. Biasanya orang yang membawa kebenaran akan cuba membuktikan kebenaran walapun sebenarnya bukan kebenaran tetapi dengan sokongan bahan untuk menyakinkan kebenaran maka akhirnya diterima sebagai kebenaran dan lebih teruk diterima sebagai kebenaran objektif. Kebenaran objektif jika dihasilkan dalam bentuk penulisan seperti karya sastera biasanya akan menghasilkan kebenaran imaginasi yang telah diolah daripada kebenaran objektif tadi. Maknanya ada tokok tambah atau pemenggalan perkara sebenar bagi tujuan menambah kesedapan terhadap cerita yang dituturkan. Lebih teruk yang gagal mengambil tanggungjawab atas perbuatan akan cuba menghasilkan kebenaran objektif bagi menuntut kesilapan pada mata orang lain supaya dia dilihat baik dan benar.

Kebenaran objektif biasanya berubah apabila ditukar kepada bentuk penulisan atau pertuturan. Sifat manusia kadangkala pula takut kepada kebenaran yang dilakukan walaupun berkelakuan sumbang sebagai kebenaran objektif tetapi apabila diceritakan kebenaran objektif melakukan perkara sumbang tadi akan ada cubaan membina kebenaran imaginasi, iaitu kebenaran yang diingini oleh si pelaku tadi. Akhirnya, yang membawa kebenaran objektif dianggap sebagai orang yang jahat sementara dia yang membina kebenaran imaginasi pula mendapat simpati dan dianggap benar oleh orang ramai. Ada usaha untuk melarikan diri daripada mengambil tanggungjawab sebagai pelaku sumbang. Si penerima yang tidak selektif akan terperangkap dengan kebenaran ciptaan tadi. Akhirnya si penerima tadi yang paling tolol dan bodoh.
MAT ZAINI BIN ABDULLAH

No comments:

Post a Comment