Wednesday, March 9, 2011

Profesionalkah Kita?

Bila bercakap soal profesional kadang kala kita hanya tahu menyebut perkataan profesional saja tapi amalannya jauh dari profesional. Profesional ini dikatakan berkaitan dengan bidang khusus seperti soal-soal perubatan, undang-undang atau kejuruteraan, arkitek dan sebagainya. Biasanya berasaskan atau memerlukan kemampuan atau kemahiran khusus untuk melaksanakan sesuatu. Sesetengahnya melihat profesional sebagai orang yang mengamalkan sesuatu berasaskan pengetahuan, kepakaran sesuatu bidang profesion. Jadi macam mana bidang keguruan? Beza guru dengan orang lain yang berijazah hanyalah pada kelayakan ikhtisas sahaja, iaitu Diploma Pendidikan atau Sijil Perguruan atau Diploma Perguruan Malaysia atau pernah dan melulus mengikut Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) atau yang lebih awal Ijazah Sarjana Muda Dengan Pendidikan. Mereka yang tidak memiliki kelayakan ikhtisas tidak boleh menjawat jawatan tetap sebagai guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Jadi beza guru dengan pemegang ijazah lain yang tidak memiliki kelayakan ikhtisas hanya pada pedagogi, psikologi pendidikan, sosiologi pendidikan. Maknanya, pemegang ijazah matematik boleh mengajar matematik tetapi tidak boleh menjadi guru tetap hanya kerana perkara-perkara berkaitan pedagogi, psikologi dan sosiologi tidak dipelajarinya. Pedagogi merupakan perkaedahan, psikologi cara dengan manusia dan sosiologi lebih kepada ilmu masyarakat. Perkara ini sahaja yang membezakan guru dengan bukan guru. Ada individu yang mampu mengajar tetapi tidak memiliki kelayakan ikhtisas, dia mengajar dengan baik berdasarkan Key Perfomance Index (KPI) pencapaian pusat tuisyennya 100% bagi mata pelajaran yang diajarnya. Mungkin KPI berkaitan soal moral menjadi perbincangan. Soalnya, bermoralkah murid yang diajar di sekolah yang gurunya mempunyai kelayakan ikhtisas? Teras kerja guru atau urusan hakiki guru adalah mengajar (dulunya mendidik). Jika berdasarkan kelayakan Ijazah dan Ikhtisas yang perlu diajarnya adalah apa yang dipelajarinya. Maknanya mata pelajaran yang perlu menjadi urusan hakiki guru jika ditafsirkan tugas guru sebagai mengajar bukan mendidik. Balik pula kepada falsafah pendidikan kebangsaan, melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Semua ini boleh dibina melalui pengajaran mata pelajaran di sekolah. Jasmani melalui pendidikan jasmani dan kesihatan, rohani dan emosi melalui pendidikan Islam, Moral dan Sivik sementara intelek atau pembinaan minda melalui semua mata pelajaran yang diajar. Kemudiannya, dimasukkan pula nilai-nilai murni merentasi kurikulum. Jadi inilah pengkhususan yang jelas dari segi profesional. Profesion perguruan sebenarnya satu profesion runcit kerana di dalamnya terdapat pelbagai barangan dan perkhidmatan yang perlu atau kena ditawarkan. Jadi urusan runcit memerlukan dua kekuatan, iaitu kehebatan komunikasi dan hubungan peruncit dengan kliennya. Kedua, kesediaan mempelbagaikan produk runcit bagi menarik minat pelanggan untuk bertandang. Peruncit biasanya bermatlamatkan keuntungan walaupun sedikit.

Sruktur pendidikan di sekolah dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kumpulan pengurusan, kumpulan guru, kumpulan murid dan kumpulan kakitangan. Profesional tulen sebenarnya tidak mengambil kira soal-soal kemanusiaan, soal hati, soal perasaan, soal keluarga dan sebagainya. Jika seorang guru memohon cuti kerana kematian tetapi pada masa yang sama perkhidmatannya diperlukan dan cutinya tidak diluluskan maka keputusan tersebut perlu diikuti kerana hak meluluskan cuti merupakan hak seorang pengetua. Jika guru diberi satu tanggungjawab dia sebenarnya tidak berhak untuk mempersoalkan pemberian tanggungjawab berkenaan. Bidang tugas seorang guru menjadi tanggungjawabnya dan seorang guru perlu bertanggungjawab terhadap kerjanya. Dalam profesional tulen, guru hanya boleh mempersoalkan jumlah pembayaran gaji yang diterimanya dan keputusannya sama ada untuk meneruskan pekerjaan atau berhenti. Itu saja hak seorang guru dalam amalan profesional tulen. Soalnya, bolehkah profesional tulen diamalkan dalam bidang perguruan? Sedangkan fitrah manusia tidak mengizinkan amalan sebegini. Profesional tulen juga menuntut kepatuhan kepada pekeliling perkhidmatan dan arahan semasa pihak atasan. Soalnya mampukah kita? Mampukah kita untuk tidak bercakap tentang itu dan ini tentang seseorang guru? Beranikah kita untuk berhadapan secara langsung dengan orang yang kita kurang berpuas hati? Berterus terangkah kita dalam mengatakan kebenaran? Dalam profesional tulen hubungan peribadi tidak pernah wujud kerana berlaku pengasingan antara soal kerja dengan soal peribadi. Profesional tulen menuntut kepatuhan kepada arahan yang sah. Di sekolah hanya arahan pengetua dianggap sebagai sah kerana kedudukannya sebagai pegawai pengawal.

Hakikatnya di sekolah, kita mengamalkan profesional berasaskan nilai-nilai agama, masyarakat dan kemanusiaan, walaupun sebenarnya amalan sebegini  memerlukan banyak pengubahsuaian kepada arahan dan cara memberi tafsiran kepada pekeliling sedia ada. Cuma kita memberi lebih tumpuan kepada soal-soal membina masa depan murid. Masa depan murid merupakan sesuatu yang tidak boleh diperjudikan semata-mata untuk kepentingan diri, populariti diri, atau disebabkan diri kita terasa tercabar kerana kritikan. Jangan jadikan sesuatu isu sebagai persoalan peribadi, jadikan sesuatu isu sebagai masalah organisasi untuk dicari jalan penyelesaian. Lebih baik diam berfikir daripada menyatakan sesuatu masalah tanpa cadangan penyelesaian. DIRI KITA MERUPAKAN MAHKLUK ALLAH YANG TERBAIK TAPI JANGANLAH KITA MERASAKAN DIRI KITA YANG TERBAIK. 

MAT ZAINI ABDULLAH 

No comments:

Post a Comment