Tuesday, February 15, 2011

Sejenak Berfikir

Bulan 8 2011, genap lima belas tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan. Dalam tempoh ini telah melalui dua zaman, zaman SSB dan era SSM. Kedua-duanya tidak pernah mendatangkan rasa puas hati warga pendidik. SSB dulunya dikatakan terlalu subjektif jika dibandingkan objektif. SSM akhirnya cenderung kepada kuota dan kekananan. Kesimpulannya, apa sahaja sistem yang diperkenalkan akan menimbulkan rasa kurang senang selagi sistem itu gagal melihatkan kebajikan dan penghargaan secara menyeluruh kepada warga guru. Persoalannya bagaimana sesuatu sistem mampu mengambarkan kebajikan dan penghargaan tersebut. Penggubal dasar akan melihat biasanya kepada soal kemampuan kewangan jika sesuatu sistem melibatkan soal-soal kewangan. Dalam sistem kita, penilaian yang lebih menonjol dirujuk kepada individu bukan organisasi. Pergerakan gaji melintang dan menegak (SSB) serta anjakan gaji dan anugerah perkhidmatan cemerlang (SSM) juga individu. Malahan, perjawatan guru cemerlang (SSM dan SSB) juga terarah kepada individu. Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Sekolah Cluster merupakan satu cubaan mencemerlangkan organisasi. Keputusan UPSR, PMR dan SPM dijadikan salah satu simbol kecemerlangan organisasi. Lambang kerjasama dan kerja guru dalam soal akademik secara umum. Mungkin sudah sampai masanya sistem penilaian kendiri diperkenalkan dalam pendidikan. Guru menilai diri mereka dengan bahan sokongan kerja yang dilaksanakan. Rasanya ini lebih objektif berbanding pihak kedua yang menilai mereka secara langsung tanpa merujuk secara khusus terhadap gerak kerja yang dilakukan tapi hanya bersandarkan pandangan setiap pengurusan sekolah yang biasanya subjektif berasaskan hubungan interpersonal. Pengurusan dalam penilaian kendiri bertindak sebagai panel penilai berasaskan dokumen kerja yang disediakan. Sesuatu yang cemerlang perlu penilaian yang tekal sebagaimana kualiti produk yang dikategorikan sebagai "establish" dan mempunyai nama di pasaran. Soalnya apa yang perlu dinilai? Mungkin soal kerja (60%), hubungan profesional (10%) dan sumbangan profesional peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan (20%) dan sumbangan kemasyarakatan (10%). Semakin sukar suatu penilaian maka semakin mengecil peruntukkan kewangan yang diperlukan dan segalanya bergantung kepada setiap guru.

Sistem yang baik perlu kembali kepada fitrah manusia. Allah mengadakan pahala dan dosa. Manusia kemudiannya dibekalkan akal dan terbesar nur Islam. Kemudiannya diturunkan al-quran sebagai garis paduan menentukan perbuatan pahala dan dosa serta kaedah-kaedah taubat untuk menghilangkan dosa yang akhirnya dimuktamadkan oleh Allah. Dengan berbekalkan nur islam, al-quran, al sunnah dan akal manusia, pahala dan dosa beroperasi secara sistematik. Segala bekalan telah disediakan oleh Allah maka manusia tiada alasan apabila melakukan dosa. Suatu yang cukup indah dalam sistem kawalan manusia. Paling besar dan tidak mampu ditiru oleh manusia, ALLAH TIDAK BERHAJAT ATAU BERGANTUNG KEPADA MANUSIA.

No comments:

Post a Comment