Thursday, February 10, 2011

Ayah Juga Lupa

Dengar, anakku. Ayah hendak berpesan pada saat kamu terbaring tidur dengan sebelah tangan kecilmu terletak di bawah pipimu dan rambutmu yang kerinting terlekat pada dahimu yang lembap. Ayah menyelinap masuk ke dalam bilik tidurmu. Baru beberapa minit yang lalu, ketika ayah membaca surat khabar di perpustakaan, perasaan kesal yang mendalam datang menerpa. Dengan perasaan bersalah, ayah datang menghampiri katilmu.

Ada pelbagai perkara yang ayah fikirkan. Anakku selama ini ayah bersikap kasar padamu. Ayah membentakmu ketika kamu sedang berpakaian ke sekolah kerana kamu cuba menyeka mukamu sekilas dengan tuala. Ayah menghukum kamu kerana kamu tidak membasuh kasutmu. Ayah menjerit marah ketika kamu membaling barangmu ke lantai.

Semasa sarapan, ayah mencari kesalahanmu. Kamu menyemburkan makananmu. Kamu menelan makananmu tanpa mengunyah terlebih dahulu. Kamu meletakkan sikumu di atas meja. Kamu menyapu banyak mentega di atas rotimu dan apabila kamu keluar bermain dan ayah meninggalkan rumah ke kereta api, kamu berpaling dan melambaikan tangan sambil berteriak "selamat jalan ayah." Ayah mengerutkan dahi lalu menjawab, "tegakkan bahumu."

Kemudian, semua itu berulang lagi pada waktu petang. Ketika ayah menyusuri jalan, ayah menghendap kamu yang sedang membongkok dengan kedua-dua lututmu di atas tanah, bermain guli. Ada lubang pada stokingmu. Ayah memalukan kamu di hadapan kawan-kawanmu dengan memaksa kamu berjalan di hadapan ayah pulang ke rumah. Bayangkan itu, anakku. Itu yang keluar dari fikiran ayah.

Adakah kamu masih ingat ketika ayah sedang membaca di perpustakaan, bagaimana kamu datang dengan perasaan takut-takut dan sinar luka yang terpancar dalam matamu? Ketika ayah mengangkat muka sewaktu membaca surat khabar, terganggu dengan kehadiranmu, kamu teragak-teragak di depan pintu. "Kamu hendak apa?" jerkah ayah.

Kamu tidak berkata sepatah pun melainkan berlari dan melompat ke riba ayah. Kamu memeluk leher ayah dan mencium ayah. Tanganmu yang kecil memeluk dengan erat dan hangat. Kehangatan yang tuhan tetapkan begitu mekar di hatimu dan sebarang pengabaian pun tidak dapat melunturkannya. Kemudian, kamu pergi dan ayah terdengar derap tapak kaki kecilmu menaiki tangga.

Anakku, seketika selepas itu, surat khabar jatuh dari tangan ayah dan ketakutan menyelubungi ayah. Apakah tabiat yang ayah lakukan? Tabiat mencari kesalahan dan cercaan. Ini adalah hadiah ayah buat kamu sebagai anak lelaki ayah. Ini tidak bermakna ayah tidak menyayangimu. Ayah lakukan ini semua kerana harapan ayah yang tinggi sejak muda lagi. Ayah mengukur kamu dengan kayu pengukur yang terhasil daripada tahun-tahun yang ayah lalui sendiri.

Sebenarnya, banyak sifat yang baik dalam tingkah lakumu. Hati luhur milikmu sebesar fajar yang memayungi bukit-bukit yang luas terbentang. Semua itu kamu pamerkan dengan sikap spontanmu ketika kamu berlari masuk dan mencium ayah sambil mengucapkan selamat malam. Tidak ada lagi masalah malam ini, anakku. Ayah sudah datang ke katilmu dalam kegelapan malam dan ayah sudah berlutut di dalam bilikmu dengan perasaan malu.

Ini adalah penyesalan yang cetek. Ayah tahu kamu tidak mengerti hal-hal sebegini apabila ayah memberitahu kamu ketika kamu terjaga daripada tidur. Tetapi keesokan harinya ayah menjadi ayah sejati. Ayah berkawan rapat dengan kamu dan sama-sama menderita dengan kamu ketika kamu menderita, dan ketawa apabila kamu tertawa. Ayah mengigit lidah ayah apabila kata-kata yang boleh menyinggung perasaanmu cuba keluar daripada mulut ayah. Ayah terus menyebut kata-kata ini seolah-olah rutin, "Dia cuma anak kecil. Anak lelaki kecil."

Ayah risau kerana sudah membayangkan kamu membesar menjadi lelaki dewasa. Namun, saat ayah memandangmu sekarang anakku, yang sedang merengkok berbaring dan letih di atas katilmu, ayah lihat kamu masih bayi. Tidak lama dulu kamu masih dikendong oleh ibumu, kepalamu terlentuk di atas bahu ibumu. Banyak ayah harapkan. "Tidak terkira banyaknya."

No comments:

Post a Comment