Saturday, January 1, 2011

Soalnya bagaimana keputusan yang baik?

Bila keputusan dibuat, perkara biasa yang menjadi persoalan bagaimana setiap ahli organisasi melihat keputusan tersebut? Perbincangannya sebenarnya lebih kepada kesan daripada keputusan. Ahli organisasi yang hanya melihat dirinya akan memberi pandangan berkisar kepada diri mereka, untung dan rugi kepada mereka berkaitan keputusan tadi. Subordinat yang sayang kepada organisasi melihat pula kesan baik-buruk kepada organisasi. Subordinat yang mementing unsur produk melihat pula baik-buruk kepada penghasilan produk. Soal kualitinya atau masih berkisar kepada soal kuantitinya. Sementara pengurusan yang mementing status quo akan melihat akibat daripada keputusan tersebut terhadap kedudukannya. Bertambah selesa atau semakin bertambah beban. Murid sekolah mungkin tidak memahami atau langsung tidak mengambil tahu kesan daripada sesuatu keputusan. Selalunya kesan keputusan dilihat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki subordinat.

Soalnya bagaimana menghasilkan keputusan yang baik? Keputusan yang baik sebenarnya jarang ada, yang ada hanyalah bagaimana kita meminimumkan rasa tidak puas hati daripada sesuatu keputusan. Dalam sejarah manusia tidak pernah terdapat keputusan yang diterima secara tulus. Kalaupun senyap semasa dibuat, di luar tempat keputusan dibuat akan kedengaran bunyi kesan keputusan. Sesetengah pengurus membuat keputusan berdasarkan manfaat yang akan diperolehi oleh golongan majoriti dalam sesuatu organisasi. Kalau di sekolah sudah tentulah murid. Soalnya, kalau sesuatu keputusan dibuat di sekolah, rasa tidak puas hati terlalu maksimum, bagaimana majoriti murid akan memperolehi manfaatnya? Inilah yang dikatakan sebagai kesan rantaian (chain effect). Guru sebagai kumpulan rantaian perlu diminimunkan dahulu rasa tidak puas hati. Selalunya keputusan yang bersilang antara subordinat dan pengurusan akan menghasilkan rasa puas hati yang maksimum. Guru sebagai kumpulan yang berjalan secara mencerun ke bawah dari kiri ke kanan sementara pengurusan berjalan secara mencerun ke atas dari kiri ke kanan. Soalnya di mana titik silangnya, isu yang bagaimana mampu memberi titik temu antara guru-pengurusan. Adakah isu kecemerlangan akademik, isu kecemerlangan displin atau isu kecemerlangan kokurikulum? Atau isu-isu berkaitan soal kebajikan murid atau yang paling tepat visi sekolah. Berapa ramai yang memahami visi dan terdapatkah perjelasan tentang visi dari pengurusan. SOALNYA BAGAIMANA?

MAT ZAINI ABDULLAH 2011

No comments:

Post a Comment