Friday, January 14, 2011

Manusia sempurna

Bagaimana kiranya bila disebut gila kesempurnaan. Sempurna banyak indikatornya, SKPM satu penentu kesempurnaan, bila semua yang dikehendaki dilaksanakan maka sekolah dianggap mempunyai standard kualiti. Persoalannya berapa lama boleh dikekalkan? Berlakukah gerakan motivasi secara berterusan dan berpanjangan dalam membina kesempurnaan tadi? Atau tahun ini kita raih tahun hadapan kita mula mengendur. Mencari kesempurnaan dunia ini sebenarnya satu kegilaan. Pernah juga dulu mengejar kesempurnaan, segalanya perlu segera dan tepat, perlu menepati masa serta perlu mengekalkan kualiti hasil kerja. Sekarang mula rasa letih kerana kesempurnaan gagal dicapai, puncanya antara kita manusia jarang mempunyai persamaan yang jitu. Kembar seiras yang mempunyai rupa yang sama tapi tidak mempunyai persamaan tingkah laku. Kejarlah kesempurnaan yang indikatornya tetap dan tidak akan berubah-ubah sehingga dunia menutup mata. Mengejar kesempurnaan dunia kadang kala letih, sakit hati, patah jiwa, kemurungan, rasa marah, rasa kurang dihargai, rasa dipergunakan, rasa segala-gala kerana jiwa antara kita amat berbeza. Kejarlah keutamaan bukan kesempurnaan jika matlamat kita hanya cetek untuk dunia tetapi jika jangkauan kita jauh ke sana, kejarlah kesempurnaan yang berlandaskan wahyu-Nya kerana itu selalu memberi ketenangan yang hakiki untuk diri. Tingkah laku manusia kompleks, dua perkara masih menjadi bahan kajian, iaitu tingkah laku dan roh manusia. Tingkah laku sudah terlalu banyak teori dibuat tetapi roh masih dalam kajian golongan manusia yang cuba melangkaui kuasa-Nya. Kesempurnaan dunia hanya ada pada takrifan diri yang merasakan sempurna sedangkan pada orang lain, ia tidaklah sempurna mana. Keutamaan itu suatu yang penting kerana keutamaan mampu memberi kegembiraan, kurang menekan, kurang mengkritik tetapi menghargai.

Mat Zaini Abdullah

No comments:

Post a Comment