Wednesday, January 12, 2011

Bila sesuainya membuat keputusan

Kata orang tua, keputusan jangan dibuat semasa marah kerana waktu itu pertimbangan akal langsung tiada. Katanya lagi keputusan yang baik semasa kita dalam keadaan tenang kerana bisa membuat akal lebih pantas berfikir. Apa sebenarnya yang kita mahu daripada sesuatu keputusan? Kesenangan diri atau cuba untuk menyelesai masalah atau cuba menjadikan diri popular kerana dikatakan cepat bertindak. Baikkah keputusan yang dibuat kerana desakan? Selalunya kita berkeputusan untuk menyelesaikan masalah tetapi lupa kita terhadap kesan masalah itu. Lupa kita bagaimana meminimumkan kesan negatif daripada keputusan itu. Kata lagi, buatlah dulu jika timbul masalah kita selesaikan. Kata-kata yang kerap didengar tapi bila timbul masalah kita yang membuat keputusan juga yang perlu menyelesaikan. Ada baik juga sekali sekala kita tangguh keputusan kerana kadang kala masa mampu memberi penyelesaian kepada masalah. Dalam amalannya, keputusan perlu cepat bila melibatkan soal-soal nyawa dan keselamatan. Adakalanya kita perlu lihat masalah pada sudut 45, adakala 90, adakala 180 dan paling baik katanya 360. Setiap keputusan pastinya ada kesan. Ada keputusan bertujuan menyelesaikan masalah tapi hasilnya ada menyebabkan berlaku masalah lebih besar. Selalunya akan timbul dalam diri mengapakah aku berkeputusan demikian? Mengapa aku tidak memilih itu dan ini. Keputusan yang baik selalu berpanduan, ada garis yang menjadi pegangan dan rujukan supaya kesan negatif dapat diminimumkan. Mana lebih baik, menghukum orang yang tidak bersalah atau melepaskan orang yang bersalah dari hukuman? Keputusan lebih mudah jika semua orang yang terlibat dalam perbicaraan mengetahui si anu itu bersalah. Hikmah Islam menetap syarat saksi bagi tuduhan zina secara sekali fikir agak ketat tetapi untuk membuat keputusan kes yang sebegini besar memerlukan kejituan bukti, kesahihan yang jelas, perlu melihat perbuatan itu secara nyata bukan hanya semata-mata untuk berkata. Ini soal maruah orang dituduh.

Bagaimana keputusan di sekolah? Bila masanya perlu keputusan segera, bila masanya perlu bijak menangguh keputusan, bila masanya tidak perlu membuat keputusan kerana proses masa mampu menyelesaikan sesuatu masalah. Takutkah kita untuk menangguh keputusan, perlukah bila didesak terus berkeputusan? Keputusan ada seninya, seninya ialah roh daripada keputusan itu. Orang yang mendesak selalunya bila menerima keputusan yang menyebelahinya selalunya mereka tidak berfikir kesan dari keputusan itu. Kadang kala mereka hanya merasai kemenangan kerana yang berkeputusan menerima desakannya, bila tiba satu keadaan dia mendesak lagi supaya dibuat keputusan dan akhirnya berkeputusan sendiri kerana tidak perlu lagi mendesak sebab setiap desakannya sentiasa diterima. Akhirnya, dia gila membuat keputusan. FIKIRLAH DULU JANGAN HANYA TAHU MENDESAK.

Mat Zaini Abdullah

No comments:

Post a Comment