Wednesday, January 5, 2011

Bila Kata Melebihi Rasa

Antara kata dan rasa, semuanya datang dari dalam diri. Bila terlepas kata baru terbit rasa. Rasa dahulu baru terbit kata, itu yang dikatakan berilmu. Orang selalu menggunakan "saya rasa..." dan jarang menggunakan "saya kata...". "Saya rasa..." bunyinya agak lembut, lambang keterbukaan, lambang keinginan berkongsi, lambang pandangan sendiri tanpa menafikan pandangan orang lain. Ada ruang untuk orang lain mencelah. Kata "saya rasa..." lambang gabungan deria yang luas dalam melihat sesuatu. "Saya kata..." lambang kuasa, lambang autokratik, autonomi, arahan, ketegasan bersekali keegoan. Ruang untuk yang lain tidak terbuka. Tapi ia juga lambang pengakuan, keberanian dan kesanggupan menerima apa saja daripada jawapan "saya kata...". Selalunya akan disediakan dengan penjelasan tentang sesuatu tindakan. "Saya rasa..." lambang butiran percakapan terhasil daripada pengetahuan dan pengalaman. "Saya kata..." lambang percakapan daripada nada yang biasanya meninggi bersama kawalan minda yang rendah dan mungkin menghasilkan tindakan secara sentuhan kasar. Apa yang berlaku bila kata melebihi rasa? Kata biasanya dizahirkan melalui percakapan, rasa biasanya terpendam dalam diri dan menjadi monolog dalaman. Rasa boleh wujud melalui dialog fikir, rasa boleh wujud melalui deria manusia yang pelbagai indera. Kata hanya keluar melalui indera mulut dan kata akan bahaya bila terus keluar hasil nafsu marah yang membuak-buak. Kata lambang diri, rasa tersembunyi dahulu kerana memikirkan kesan apabila rasa terkeluar melalui kata. Kehadiran roh agama dalam diri melalui rasa, rasa ini hanya difahami oleh diri yang punya rasa. Kata merupakan pembelajaran melalui rasa. Soal bagaimana kita mendidik rasa? Orang yang inderanya buta belajar melalui rasa dan diluah melalui kata. Bila kata melebihi rasa itu permulaan kebencian, bila rasa melebihi kata itulah bermulanya kasih sayang sesama insan. Jadi banyakkan rasa sebelum berkata.

No comments:

Post a Comment