Sunday, November 28, 2010

Bila Malam, Sepi

Itulah hakikat kejadian manusia, adakala gembira, adakala sepi. Kadangkala sukar untuk dimengertikan makna sebenar apa yang dikehendaki dengan apa yang telah diperolehi. Jurang antara keinginan dengan apa yang diperolehi sebenarnya membina masalah untuk difikir dan dicari jalan penyelesaian. Sebenarnya, setiap tindakan manusia mencipta masalah atau perkara baru. Di sini perlu kebijaksanaan dalam mengkaji dan memberi alternatif kepada penyelesaian masalah. Sebenarnya manusia bergerak kerana masalah. Jika tiada masalah manusia kurang rajin, kurang kreatif, kurang berfikir. Dengan masalah manusia mula mencari agama untuk ketenangan, meminta bantuan dan mula cuba untuk kembali kepada penciptanya. Katanya, dunia bukan tempat menyelesaikan segala masalah. Bila di sana segalanya akan selesai. Masalah boleh membuat akal manusia jatuh ke tahap yang luar biasa rendahnya. Yang dikatakan berpendidikan kadangkala gagal mengawal emosi kerana masalah. Kerana masalah kita kurang adil dalam memberi hukuman. Kerana masalah kita mula memberi pandangan kurang enak kepada seseorang. Kerana masalah hubungan yang murni terpaksa terlerai. Segala-galanya kerana masalah. Persoalannya, siapa yang tiada pernah berhadapan dengan masalah? Selagi ada hubungan antara manusia selagi itulah wujud masalah. Kata lainnya, manusia hanyalah membina, menganalisis dan mencari penyelesaian kepada masalah. Penyelesaian kepada setiap masalah akan selalunya membina masalah baru. Masalah sesuatu yang pelik tetapi menarik. Masalah sebenarnya membina kehidupan, membina keberanian, membina teknologi, membina pelbagai penyelesaian alternatif-kreatif. Jadi salah ke, jika kita melihat masalah sebagai benda yang menarik sebagaimana kita tertarik kepada benda yang menarik. Mat Zaini Abdullah

No comments:

Post a Comment