Saturday, October 23, 2010

Teori Resapan Inovasi

Teori ini dipelopori oleh Everett M. Roger. Resapan merupakan proses sesuatu inovasi dihubungkan melalui saluran-saluran tertentu mengikut masa dalam kalangan ahli-ahli sesebuah sistem sosial. Sesuatu inovasi mungkin berupa idea, teknologi atau kaedah atau teknik-teknik tertentu. Terdapat empat elemen utama dalam teori resapan, antaranya :

1. Inovasi
2. Saluran komunikasi
3. Masa
4. Sistem sosial

Soal inovasi perlu diambil kira dalam memperkenalkan sesuatu yang baru. Hal ini meliputi faedah yang akan diperolehi daripada inovasi yang diperkenalkan. Soal kesesuaian inovasi juga perlu dipertimbangan sebelum disebar kepada khalayak umum di samping melihat juga tahap kesukaran sesuatu inovasi untuk dipelajari oleh bakal penerima dan bagaimana keupayaan untuk mencuba inovasi tersebut. Terakhir dalam soal inovasi ialah kebolehlihatan inovasi oleh ahli-ahli masyarakat yang terlibat.
Saluran komunikasi merujuk kepada bagaimana inovasi diperolehi oleh ahli masyarakat dan disampaikan kepada ahli-ahli lain dalam masyarakat. Saluran antara individu lebih berkesan dalam membentuk dan menukar sikap terhadap idea-idea baru. Sesetengah individu menilai sesuatu inovasi bukan berasaskan kajian saintifik pakar tetapi melalui penilaian subjektif rakan-rakan terdekat yang telah menerima inovasi tersebut.

Dimensi masa yang melibatkan resapan berlaku melalui 3 cara. Inovasi-keputusan, peringkat ini merupakan proses mental individu samada menerima atau menolak inovasi. Pada peringkat ini juga, individu akan mencari maklumat bagi mengurangkan ketidaktentuan. Dalam peringkat ini individu akan bergerak daripada pengetahuan-pemujukan-keputusan-pelaksanaan-pengesahan. Selepas itu, individu akan berpindah kepada kesedaran terhadap inovasi melalui darjah penerimaan seseorang individu terhadap inovasi secara relatif lebih awal berbanding individu lain. Akhir sekali kadar penerimaan yang merujuk kepada kelajuan relatif dalam menerima inovasi bagi individu dalam satu sistem sosial. Ia diukur berdasarkan bilangan ahli dalam sesebuah sistem sosial yang menerima inovasi dalam tempoh yang ditetapkan.

Sistem sosial merupakan elemen terakhir yang merujuk kepada satu set unit yang saling berhubungan secara rapat dan secara bersama menyelesaikan masalah untuk mencapai matlamat bersama.

Kesimpulannya, kefahaman terhadap teori ini akan mampu menjana inovasi dalam organisasi dengan peluang meminimumkan konflik kesan daripada inovasi. Paling penting kaedah saluran komunikasi dan masa serta sikap individu dalam sistem sosial.

Nukilan ringkas,

Mat Zaini Abdullah





No comments:

Post a Comment